Tuesday, April 8, 2008

Penentuan Arah Kiblat

Di Malaysia surat kebenaran dirikan masjid hanya dikeluarkan apabila penandaan garisan asas tapak dilakukan

DALAM
menentukan arah kiblat, kebanyakan umat Islam akan menggunakan kompas atau mengikut arah kiblat masjid atau surau berdekatan.
Kiblat, adalah titik rujukan di bumi yang menghala ke Kaabah dan menjadi arah solat bagi umat Islam. Pada mulanya, kiblat mengarah ke Baitulmuqaddis atau kini Jerusalem (dikenali sebagai pertama daripada dua kiblat), namun pada 624 Masihi, diganti mengarah ke Kaabah di Makkah.


Situasi berlainan pula apabila mengerjakan solat dalam Kaabah itu sendiri, seseorang Muslim menghadap ke arah dinding keluar semasa solat, manakala bagi berada di luar Kaabah pula, mereka boleh menghadap mana-mana arah kerana pusingan Kaabah itu 360 darjah.

Arah kiblat ialah azimut yang melalui jarak terdekat di sepanjang sfera bumi. Pengiraan arah kiblat daripada sesuatu tempat dilakukan dengan menggunakan formula segi tiga sfera. Untuk itu, perlu diketahui koordinat tempat berkenaan (dinamakan stesen) iaitu latitud dan longitud.

Bagi mengetahui jarak terdekat di antara stesen dengan Makkah, pastikan perbezaan longitud stesen dengan Makkah kurang daripada 180 darjah, jarak terdekat sepatutnya mengikuti arah bertentangan dengannya.

Pada awal perkembangan Islam, penentuan arah kiblat tidak menimbulkan masalah kerana Rasulullah ada bersama sahabat dan baginda sendiri yang menunjukkan arah kiblat apabila berada di luar kawasan Makkah.

Apabila sahabat mula mengembara untuk mengembangkan Islam, kaedah menentukan arah kiblat menjadi rumit dan mereka mula merujuk kepada kedudukan bintang menurut pengetahuan mereka menepati arah ke Makkah.

Pada zaman pertengahan pula, kaedah segi tiga pengiraan falak digunakan iaitu formula trigonometri bagi pengiraan arah kiblat itu. Kaedah itu tidak jauh berbeza dengan formula yang digunakan sekarang kerana ia dikatakan paling tepat.

Pengukuran arah kiblat pada masa itu menggunakan rubuk mujayyab iaitu berdasarkan rujukan garisan meridian yang dinamakan sebagai `garis tengah hari’ dalam kebanyakan kitab falak tradisional dan kompas.

Naib Yang Dipertua Persatuan Falak Syarie Malaysia, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, berkata usaha awal menentukan arah kiblat secara sistematik dimulakan oleh Khalifah Al-Makmun, yang memerintahkan supaya koordinat geografi kota Makkah ditentukan dengan tepat.

Dengan cara itu, beliau berkata, arah kiblat dikira dari Baghdad yang mana latitud Makkah diperoleh dengan mengukur ketinggian matahari pada waktu istiwa (rembang), manakala longitud pula diukur mengikut perbezaan waktu ditunjukkan jam matahari.

Bagaimanapun, katanya, ahli falak tradisional pada masa itu lebih cenderung menggunakan kaedah logaritma dan geometri iaitu kedudukan matahari atau gabungan kedua-dua kaedah berkenaan dalam menentukan arah kiblat.

“Pengukuran sudut ke arah kiblat dibuat secara geometri atau menggunakan rubuk mujayyab, iaitu peralatan tradisional untuk mengukur sudut dan pengiraan trigonometri. Penentuan garisan utara, selatan atau meridian tempatan perlu ditentukan terlebih dulu dengan kaedah tongkat istiwa yang bukan saja mudah tetapi tepat,” katanya.

Di Malaysia, Syed Kamarulzaman berkata, kebanyakan masjid lama menggunakan kaedah itu untuk mendapatkan arah utara bagi penentuan arah kiblat. Secara teori, jika kita mengetahui satu sudut waktu sebelum istiwa dengan satu sudut waktu sama selepas istiwa, jarak bayang objek tegak yang dibuat dalam dua keadaan itu adalah sama.

“Istiwa ialah satu keadaan yang mana matahari berada tepat pada titik zenith (ghayah) sesuatu tempat ketika tengah hari dan fenomena itu boleh dimanfaatkan untuk menyemak dan menentukan arah kiblat dari tempat lain di bumi.

“Peristiwa istiwa matahari di atas Kaabah berlaku setiap tahun pada jam 5.16 petang (waktu Malaysia) 28 Mei dan sekali lagi pada jam 5.28 petang, 16 Julai. Pada 16 Julai, jam 5.28 petang, bayang-bayang yang ditunjukkan oleh objek tegak sama ada kayu atau tiang adalah bersamaan dengan arah kiblat.

“Oleh kerana matahari berada di langit barat, bayang-bayang tiang akan jatuh ke arah timur, arah kiblat ialah yang mengadap ke barat,” katanya.

Beliau berkata, semua empat mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali bersepakat bahawa menghadap kiblat adalah syarat sah solat. Mazhab Syafie menetapkan tiga syarat yang boleh diguna pakai bagi memenuhi syarat menghadap kiblat.

“Pertama, menghadap kiblat dengan penuh yakin terutama bagi seseorang yang berada dalam Masjidil Haram, sama ada nampak Kaabah atau tidak, wajib menghadap dan menghalakan dirinya ke Baitullah.

“Kedua, menghadap kiblat secara dzanni bagi seseorang yang berada jauh dari Kaabah iaitu berada di luar Masjidil Haram atau di sekitar tanah suci Makkah. Mereka dikehendaki menghadap ke arah Masjidil Haram sebagai maksud menghadap ke arah Kaabah secara dzanni.

“Ketiga ialah ijtihad, melalui kaedah ini pelbagai cara boleh digunakan bagi menentukan arah kiblat dari satu tempat yang terletak jauh seperti panduan bintang Polaris (Qutbi), fenomena istiwa matahari di atas Kaabah dan Trigonometri Sfera,” katanya.

Beliau berkata, bagi sesetengah tempat, ijtihad arah kiblat boleh ditentukan melalui perhitungan falak atau astronomi dengan penggunaan peralatan yang sesuai dan moden seperti teodolit dan kompas.

Secara umum, Syed Kamarulzaman berkata, tugas menentukan arah kiblat dilakukan oleh ahli teknikal seperti jurutera Jabatan Kerja Raya, juru ukur dari Jabatan Tanah dan Ukur serta mereka yang mempunyai pengetahuan menentukan arah kiblat.

“Pengesahan pula perlu dilakukan pihak berkuasa negeri iaitu Jabatan Mufti atau Jabatan Agama Islam Negeri, bergantung kepada bidang kuasa masing-masing bagi mengelakkan sebarang kesilapan ketika menentukan arah kiblat,” katanya.

Beliau berkata, surat kebenaran mendirikan masjid hanya dikeluarkan selepas penandaan garisan asas masjid, bukan sebelum penyediaan tapak masjid dan kerja pengukuran arah kiblat perlu dihadiri oleh mereka yang pakar di tapak masjid untuk menyaksikan dan mengesahkan proses pengukuran berkenaan.

“Aspek yang diberi perhatian ketika proses penandaan ialah ketepatan koordinat tapak masjid, kiraan azimut kiblat, peralatan dan spesifikasinya, kaedah dan ketepatan penandaan garisan asas bangunan serta pengesahan saksi,” katanya.

FAKTA
Masalah penanda tanda kiblat

1. Mengambil sikap sambil lewa.

  • Ada umat Islam mengambil sikap sambil lewa dan menganggap kelonggaran yang diberikan syarak membenarkan menggunakan kaedah kiblat dzan.

    2. Kurang ilmu pengetahuan mengenai kaedah penentuan arah kiblat sama ada secara tradisional atau moden.

  • Kebanyakan umat Islam hari ini lebih cenderung mengikut tradisi lama dan tidak pernah disemak semula ketepatan arah kiblat.
  • Begitu juga dalam menentukan arah kiblat di tanah perkuburan, ia hanya ditentukan penggali kubur, kadangkala mereka tidak begitu mahir menentukan arah tepat ke kiblat.

    3. Ketiadaan peralatan moden membuat pengukuran.

  • Umat Islam perlu memiliki alat sekurang-kurangnya kompas untuk menentukan arah kiblat.
  • Perlu mempunyai kesedaran mengenai pentingnya ilmu falak bagi mengelakkan kesilapan dalam menentukan ketepatan arah kiblat.

    Kaedah tradisional menentukan kiblat

    1. Matahari istiwa atas Kaabah

  • Kejadian matahari istiwa (rembang) di atas kaabah berlaku dua kali setahun iaitu pada 28 Mei kira-kira jam 5.16 petang dan pada 16 Julai, kira-kira jam 5.28 petang (waktu Malaysia). Ketika matahari istiwa di atas Kaabah, bayang objek tegak di seluruh dunia akan memperbetulkan arah kiblat.

    - Panduan menentukan arah kiblat dari satu tempat pada tarikh dan masa yang ditentukan di atas:

  • Pacakkan satu tiang pada kawasan yang hendak disemak arah kiblatnya.
  • Pastikan tiang berkenaan tegak dan lurus. Bagi menyemak ketegakannya boleh diletak sebarang pemberat yang diikat pada hujung tiang itu.
  • Tempat yang dipilih untuk tujuan ini tidak terlindung daripada sinaran matahari. Oleh kerana matahari berada di langit barat, bayang-bayang akan jatuh ke arah timur, arah kiblat ialah bayang-bayang yang menghadap ke barat.

    2. Kaedah buruj bintang

  • Buruj bintang ialah sekumpulan bintang yang berada di suatu kawasan langit serta mempunyai bentuk hampir sama dan kelihatan berdekatan antara satu sama lain.
  • Langit dibahagikan kepada 88 kawasan buruj bintang. Bintang yang berada pada satu kawasan sama adalah dalam satu buruj.
  • Sesuatu buruj bintang mengikut bentuk yang mudah dikenal pasti seperti bentuk haiwan dan geometri.
  • Dengan mengetahui bentuk buruj bintang tertentu, arah utara dan arah kiblat dari sesuatu tempat boleh ditentukan.
  • Menggunakan kedudukan buruj Orion atau buruj Al-Babadour. Pada buruj itu ada tiga bintang berderet iaitu Mintaka, An Nilam dan An Nitak. Arah kiblat boleh diketahui dengan mengunjurkan arah tiga bintang berderet berkenaan ke arah barat.

    3. Kaedah matahari terbenam

  • Secara umum, jika kita merujuk kepada kedudukan matahari terbenam untuk tujuan penentuan arah kiblat adalah tidak tepat. Ini disebabkan arah matahari terbenam di Malaysia akan berubah dari azimut 235 darjah hingga 295 darjah.
  • Ia boleh digunakan sebagai satu daripada langkah berijtihad, arah matahari terbenam boleh digunakan jika mengetahui perbezaan sudut antara arah matahari dengan arah kiblat.

  • Dipetik daripada artikel "Segi tiga sfera tentu kiblat" oleh
    Norakmah Mat Youb

    Saturday, April 5, 2008

    Video Klip...

    Raihan feat Awie - Dari Tuhan




    Dewa 19 feat Fadly & Yoyok - Satu